Pasca OIAM3 Aweera

Selepas keluar dari OIAM3, kerjaya seni Aweera agak malap berikutan tiada pihak pengurusan yang dapat membantunya mengembangkan potensi dalam bidang seni suara. Lantaran itu Aweera kembali ke Perlis dan bekerja di Unit Kebudayaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sehinggalah pada tahun 2012 beliau dipelawa oleh Edry KRU untuk menyertai kumpulan rock baru, Mojo sebagai vokalis dan menghasilkan album mini (EP).

Menerusi EP tersebut, Mojo meraih anugerah Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2012 manakala lagu Andaiku Bercinta Lagi telah berjaya melangkah ke peringkat akhir Juara Lagu 2012. Seterusnya album EP kedua muncul pada tahun 2013 dan memuatkan lagu hit Romancinta. Lagu ini juga layak ke peringkat akhir Juara Lagu 2014 tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan Aweera tidak dapat menyampaikan lagu tersebut.

Aweera kemudiannya telah meninggalkan kumpulan tersebut dan bergerak solo.

Aweera telah digandingkan dengan kumpulan rock legenda, Lefthanded mengadakan persembahan penutup tirai acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 pada 5 April 2015.